Kisah Pembantu Rumah Indonesia di Malaysia
Kesian aku kat pembantu rumah Indonesia Islam yang terpaksa bekerja dengan majikan di Malaysia, terutamanya dari kalangan bukan Islam. Semalam seorang bekas amah datang bercerita kat aku mengenai nasib malangnya. Walaupun kini dia bukan lagi amah (menurutnya dia lari), kisah lamanya masih segar diingatan.
Dia diambil bekerja oleh majikan Cina yang tidak membenarkannya solat (sembahyang) dan juga disuruh memasak babi. Sambil mengalir air matanya bercerita, sebab dia teringat kata-kata emaknya lebih kurang bermaksud kalau tak cukup makan tak apa, tapi jangan sesekali meninggakan solat....
Ini petikan dari akbar Harian Metro online:
Amah derita ancam bunuh diri
sab@hmetro.com.my
KUALA LUMPUR: Sepucuk surat kepada adiknya menjadi bukti terhadap penderitaan ditanggung seorang pembantu rumah apabila dia mendakwa didera secara emosi oleh majikannya sejak tiga bulan lalu.
Dia juga akan membunuh diri sekiranya gagal mendapat bantuan daripada adiknya.
Surat empat helai itu dikirim mangsa kepada adiknya itu melalui rakan senegaranya ketika membuang sampah.
Presiden Persatuan Pengguna Subang Jaya dan Shah Alam (Cassa), Dr Jacob George yang mendedahkan perkara itu, berkata mangsa yang dikenali Yati, 28, menulis surat kepada adiknya, Turasia, 25, yang juga pembantu rumah, selepas tidak sanggup dengan layanan majikannya.
“Dalam surat itu, Yati mendakwa majikannya tidak berhati perut kerana memberikan tugasan yang begitu membebankan selain terpaksa menguruskan anak dan tiga keluarga lain majikan yang hidup sebumbung dengannya.
“Dia bukan saja dimarahi, tetapi tidak dibenarkan untuk menghubungi saudara-mara ataupun bebas seperti rakan pembantu rumah yang lain sehingga menganggap dirinya seperti dipenjarakan,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.
Beliau berkata, Yati yang mendakwa dirinya semakin kurus kerana terpaksa menguruskan keluarga majikannya dan tidak cukup tidur turut mengancam untuk membunuh diri.
“Ancaman itu, menyebabkan adiknya, Turasia tidak henti-henti menangis, sebelum dibawa majikan untuk menemui kakaknya meskipun bertugas di Kuantan. Surat itu dihantar Turasia kepada Cassa pada Jumaat lalu.
“Pada mulanya majikan Yati tidak membenarkan kami bertemunya. Bagaimanapun selepas kami menyatakan hasrat sebenar kedatangan, barulah dia mengizinkan dua beradik itu bertemu dan berbincang masalah dihadapi,” katanya yang turut menerima ancaman daripada bapa mentua majikan Yati pada jam 12.30 pagi, Sabtu lalu.
Beliau berkata, majikan Yati bersedia melepaskan Yati tetapi dengan syarat membayar RM6,000 untuk menanggung kos yang perlu dibayar kepada agensi pekerjaan.
Katanya, Turasia turut membuat laporan di Balai Polis, Kuantan, sebelum kes itu diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPPD) Petaling Jaya untuk siasatan selanjutnya.
“Bertindak daripada aduan diterima, polis ke rumah majikan Yati untuk mengambilnya pada Ahad lalu (semalam) dan dia kini berada dalam kawalan pihak berkuasa.
“Majikannya pula kini disoal siasat. Polis turut gagal mengambil keterangan agensi pekerjaan yang membekalkan Yati,” katanya.
Katanya, sehingga semalam, kira-kira 115 aduan serupa diterima Cassa daripada pekerja asing, terutama pembantu rumah yang mendakwa didera majikan.
“Saya meminta kerajaan menyenaraihitamkan agensi pekerjaan yang didapati tidak bertanggungjawab terhadap pekerja asing kerana mementingkan keuntungan semata-mata berbanding soal kebajikan mereka.
“Tindakan sewajarnya perlu dilakukan, bukan saja kepada majikan yang melakukan penderaan secara fizikal tetapi penderaan secara mental dan emosi seperti dialami Yati,” katanya.