Kisah Pembantu Rumah Indonesia di Malaysia

Kesian aku kat pembantu rumah Indonesia Islam yang terpaksa bekerja dengan majikan di Malaysia, terutamanya dari kalangan bukan Islam. Semalam seorang bekas amah datang bercerita kat aku mengenai nasib malangnya. Walaupun kini dia bukan lagi amah (menurutnya dia lari), kisah lamanya masih segar diingatan.

Dia diambil bekerja oleh majikan Cina yang tidak membenarkannya solat (sembahyang) dan juga disuruh memasak babi. Sambil mengalir air matanya bercerita, sebab dia teringat kata-kata emaknya lebih kurang bermaksud kalau tak cukup makan tak apa, tapi jangan sesekali meninggakan solat....


Ini petikan dari akbar Harian Metro online:

Amah derita ancam bunuh diri
Oleh Mohd Sabran Md Sani
sab@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: Sepucuk surat kepada adiknya menjadi bukti terhadap penderitaan ditanggung seorang pembantu rumah apabila dia mendakwa didera secara emosi oleh majikannya sejak tiga bulan lalu.

Dia juga akan membunuh diri sekiranya gagal mendapat bantuan daripada adiknya.

Surat empat helai itu dikirim mangsa kepada adiknya itu melalui rakan senegaranya ketika membuang sampah.

Presiden Persatuan Pengguna Subang Jaya dan Shah Alam (Cassa), Dr Jacob George yang mendedahkan perkara itu, berkata mangsa yang dikenali Yati, 28, menulis surat kepada adiknya, Turasia, 25, yang juga pembantu rumah, selepas tidak sanggup dengan layanan majikannya.

“Dalam surat itu, Yati mendakwa majikannya tidak berhati perut kerana memberikan tugasan yang begitu membebankan selain terpaksa menguruskan anak dan tiga keluarga lain majikan yang hidup sebumbung dengannya.

“Dia bukan saja dimarahi, tetapi tidak dibenarkan untuk menghubungi saudara-mara ataupun bebas seperti rakan pembantu rumah yang lain sehingga menganggap dirinya seperti dipenjarakan,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Beliau berkata, Yati yang mendakwa dirinya semakin kurus kerana terpaksa menguruskan keluarga majikannya dan tidak cukup tidur turut mengancam untuk membunuh diri.

“Ancaman itu, menyebabkan adiknya, Turasia tidak henti-henti menangis, sebelum dibawa majikan untuk menemui kakaknya meskipun bertugas di Kuantan. Surat itu dihantar Turasia kepada Cassa pada Jumaat lalu.

“Pada mulanya majikan Yati tidak membenarkan kami bertemunya. Bagaimanapun selepas kami menyatakan hasrat sebenar kedatangan, barulah dia mengizinkan dua beradik itu bertemu dan berbincang masalah dihadapi,” katanya yang turut menerima ancaman daripada bapa mentua majikan Yati pada jam 12.30 pagi, Sabtu lalu.

Beliau berkata, majikan Yati bersedia melepaskan Yati tetapi dengan syarat membayar RM6,000 untuk menanggung kos yang perlu dibayar kepada agensi pekerjaan.

Katanya, Turasia turut membuat laporan di Balai Polis, Kuantan, sebelum kes itu diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPPD) Petaling Jaya untuk siasatan selanjutnya.

“Bertindak daripada aduan diterima, polis ke rumah majikan Yati untuk mengambilnya pada Ahad lalu (semalam) dan dia kini berada dalam kawalan pihak berkuasa.

“Majikannya pula kini disoal siasat. Polis turut gagal mengambil keterangan agensi pekerjaan yang membekalkan Yati,” katanya.

Katanya, sehingga semalam, kira-kira 115 aduan serupa diterima Cassa daripada pekerja asing, terutama pembantu rumah yang mendakwa didera majikan.

“Saya meminta kerajaan menyenaraihitamkan agensi pekerjaan yang didapati tidak bertanggungjawab terhadap pekerja asing kerana mementingkan keuntungan semata-mata berbanding soal kebajikan mereka.

“Tindakan sewajarnya perlu dilakukan, bukan saja kepada majikan yang melakukan penderaan secara fizikal tetapi penderaan secara mental dan emosi seperti dialami Yati,” katanya.

1 Comments:

Anonymous Anonymous said...

Ini dari Harian Metro 20-02-2006
================================
Edisi Utara: Amah dakwa didera, dipaksa makan babi
Oleh Fauzi Rahim Mustafa
fauzee@hmetro.com.my

SUNGAI PETANI: Selepas tujuh bulan menanggung azab didera, seorang pembantu rumah warga Indonesia nekad melarikan diri daripada majikan wanitanya di Taman Intan, di sini, semalam.

Supri Yaten Poniman, 19, beragama Islam dari Lampung Tengah, Jawa Tengah, mendakwa selain dipukul, ditumbuk dan ditampar, dia dipaksa memakan daging babi sejak bekerja di rumah majikannya pada 29 Julai tahun lalu.

“Majikan yang berusia pertengahan 30-an itu juga selalu memaki saya dengan panggilan pelacur, binatang, otak babi dan otak penuh dengan najis.

“Puncanya (didera majikan) saya tidak tahu tetapi saya mula didera selepas tiga hari bekerja di rumahnya,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Pejabat Agama Daerah Kuala Muda, di sini, semalam.

Katanya, majikan wanitanya itu juga seorang panas baran dan sering memukulnya tanpa sebab dengan menggunakan buluh, besen plastik, rotan bulu ayam selain menumbuknya di seluruh badan.

“Akibat deraan yang dilakukannya, tubuh saya lebam dan pipi pula berdarah selain tulang bahu terseliuh kerana ditumbuk dengan kuat.

“Dada juga berasa sesak (nafas) selepas majikan wanita menjadikan saya sebagai sasaran pukulan setiap kali dia marah,” katanya.

Supri Yaten mendakwa, majikannya juga selalu memaksanya memakan daging babi dengan alasan empat pembantu rumahnya yang beragama Islam ketika bekerja dengannya sebelum ini turut melakukan perkara sama.

“Kali pertama dipaksa makan daging babi selepas tiga hari bekerja dengannya tetapi saya membuang daging babi yang diberi.

“Apabila majikan dapat tahu, saya teruk dibelasah dan dipukul menyebabkan saya terpaksa memakannya (daging babi) juga walaupun setiap kali itu saya berasa mahu muntah,” katanya.

Menurut Supri Yaten, dia memasuki negara ini ketika berusia 14 tahun dan bekerja sebagai pembantu rumah di Kuala Lumpur pada Januari 2002 tanpa masalah sebelum bekerja di Taman Intan, di sini, melalui ejen berasingan.

Dakwanya, akibat deraan berterusan dilakukan majikannya dan tidak sanggup lagi menahan pukulan, dia mengambil keputusan menceritakan masalahnya kepada beberapa peniaga di taman itu.

“Kira-kira jam 9.30 pagi tadi (semalam), saya mengambil keputusan memberitahu mereka untuk membantu saya lari daripada majikan kejam itu.

“Melalui mereka, saya dibawa berjumpa dengan Setiausaha Masjid Taman Intan, Kamaruddin Kassim dan siaknya, Md Ismail Bakhari, yang turut membantu melaporkan kejadian itu di Balai Polis Sungai Petani,” katanya.

Difahamkan, Supri Yaten juga membuat laporan polis buat kali kedua bersama pegawai Jabatan Imigresen cawangan Sungai Petani bagi meminta dia dihantar pulang ke negara asal.

Sementara itu, Pegawai Penerangan, Sosial dan Budaya Konsul Indonesia di Pulau Pinang, Oktavia Maludin berkata pihaknya akan memberi perlindungan dan mengubati kesakitan dialami mangsa serta berusaha mencari bukti seperti dakwaannya itu.

“Jika benar (penderaan), pihak kami akan melaporkan kes itu kepada polis dan tindakan selanjutnya akan dilakukan selepas aduan berkenaan.

“Dalam hal ini, jika terbukti benar, tiada alasan pihak polis menolak aduannya,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, semalam.

Sunday, February 19, 2006 9:50:00 PM  

Post a Comment

<< Home